11.1.12

Hidangan Tahun Baru Cina

Salam ukhuwah!

Seminggu lagi, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina sempena permulaan tahun baru dalam Kalendar Luna.

Menurut kepercayaan mereka, tahun baru ini merupakan Tahun Naga.

Mari kita lihat beberapa hidangan utama yang disajikan pada perayaan ini.

Jin Dui (Bebola bijan)

Kuih ini berbentuk bulat dan berwarna emas, maka masyarakat Cina menganggapnya sebagai membawa tuah kepada mereka. Ia diperbuat daripada doh yang mudah mengembang apabila digoreng dan ini dianggap sebagai simbolik seolah-olah sebuah perniagaan kecil yang semakin lama semakin membawa pulangan lumayan. Selalunya, kuih ini mengandungi inti di dalamnya yang diperbuat daripada pes kacang merah.

Jiao zi (bebola tepung)

Hidangan ini ialah salah satu hidangan utama bagi sambutan Tahun Baru Cina. Ia dihidangkan pada waktu-waktu berikut:
  • Malam sambutan Tahun Baru Cina
  • Hari pertama bagi bulan pertama dalam Kalendar Cina. Jiao zi yang dihidangkan pada hari ini mestilah yang merupakan baki Jiao zi semalam, simbolik bahawa tuah yang baik kekal berterusan dan sentiasa berbaki.
  • Hari kelima bagi bulan pertama Kalendar Cina

Nian Gao (kuih bakul)

Kuih Bakul atau Nian Gao ialah makanan masyarakat Cina yang diperbuat daripada tepung pulut dan berbentuk seperti dodol. Sungguhpun boleh dimakan bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah pada masa perayaan ini kerana namanya "nian gao" (年糕) di mana perkataan 糕 (gāo) bermaksud 'kuih' dalam nama kuih ini berbunyi sama seperti perkataan 高 (gāo) bermaksud 'tinggi' melambangkan erti "semakin tahun semakin tinggi" atau ringkasnya "setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan