Salam perpaduan!
Untuk pengetahuan, warga SMKTAR dan beberapa buah sekolah di daerah Seberang Perai Selatan baru saja kembali bersekolah selepas bercuti selama sembilan hari. Memandangkan sekolah ini majoriti warganya berbangsa Cina, maka pihak pengurusan memutuskan untuk memanjangkan tempoh cuti Tahun Baru Cina yang lalu.
Secara tidak langsung, guru-guru dan pelajar-pelajar yang berketurunan Melayu dan India juga berpeluang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung masing-masing. Hehehe…
Baiklah, kali ini Pusat Sumber Tunku ingin berkongsi sedikit
informasi mengenai sambutan Tahun Baru Cina. Bolehlah pengunjung-pengunjung yang berbangsa Melayu, India dan bangsa-bangsa lain mengetahui serba sedikit tentang perayaan ini kan?
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.
Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过 年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian"
Sambutan
Hari pertama
Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.
Yang paling penting, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.
Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.
Hari ke-2
Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" (Cina Tradisional: 開年, Cina Ringkas: 开 年, kāi nián) menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka. Menurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri.
Hari ke-3
Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan berikut:
Hari ini dikenali sebagai "mulut merah" (赤口 chì kǒu), yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja[6] Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur.
Hari ke-5
Di bahagian utara China, ladu (Cina Tradisional: 餃子, Cina Ringkas: 饺 子, jiǎozi) dijadikan sarapan pada pagi "pecah lima" (破五, pò wǔ). Ini juga merupakan ulang tahun hari lahir Cai Shen, dewa kekayaan Cina. Di Taiwan, perniagaan biasanya dibuka semula pada hari tersebut dan diserikan oleh pemetik api.
Hari ke-7
Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai (人日, pinyin: rén rì, Kantonis: yan yat), iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina.
Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut.
Hari ke-9
Hari kesembilan tahun baru merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan (天公 tiān gōng) di tokong agama Tao.
Tambahan pula, hari ini dianggap sebagai "tahun baru" suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baru, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada Maharaja tersebut. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.
Teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang ternama.
Di kawasan perumahan yang terletak bertentangan SMKTAR, penghuni-penghuni berbangsa Cina menyambut hari ini dengan amat meriah. Bermula jam 11.30 malam, mercun papan dibakar dan paling menarik ialah bunga api berwarna-warni dilepaskan ke langit. Lepas sebuah rumah membakar mercun rumah-rumah lain pula akan “menyahut cabaran”, dah jadi seperti pertandingan. Penghuni Melayu dan India tumpang gembira malam tersebut, dapat melihat bunga api hehe.. Meriah jadinya malam tersebut sehingga jam 2 pagi.
Hari ke-15
Ini adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié (Cina Tradisional: 元宵節, Cina Ringkas: 元 宵节), atau Chap Goh Mei (十五暝) dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Valentine. Tāngyuán (Cina Tradisional: 湯圓, Cina Ringkas: 汤 圆), bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini.Tāngyuán ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih. Tangyuan bolehlah sama ada berisi atau tanpa isi. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.
Okey, itu secara ringkas tentang sambutan perayaan kaum Cina ini. Info tentang perayaan-perayaan lain, kita kongsi lepas ni ye.. Sampai bertemu lagi! ^_^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan