Apa aktiviti rakan-rakan pada cuti sekolah yang lalu? Mesti ada yang keluar bercuti bersama keluarga dan ada juga yang lebih selesa menghabiskan cuti di rumah sahaja. Ada yang menolong ibu bapa di kedai, ada yang menyertai kem cuti sekolah dan ada yang berlatih bermain badminton pada waktu petang. Tak kisahlah apa sekalipun yang dilakukan, yang penting bermanfaat, ok! =)
Bagi memastikan para pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber mendapat sedikit input pada cuti sekolah, pihak Lembaga Pengawas dengan kerjasama Pusat Sumber Tunku telah mengadakan Kem Kepimpinan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber. Matlamat utamanya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memantapkan bakat kepimpinan, meningkatkan ketahanan mental dan fizikal serta mengeratkan kerjasama antara kedua-dua badan pengawas.
Kem tersebut berlangsung di Teluk Kumbar selama tiga hari, bermula 18 dan berakhir pada 20 Mac.
Pada 18 Mac, semua guru dan peserta berkumpul di tapak perhimpunan sekolah terlebih dulu sebelum bertolak ke Teluk Kumbar dengan menaiki dua buah bas. Setibanya di sana, program dimulakan dengan aktiviti "ice-breaking" untuk mengagihkan para peserta kepada kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan dianggotai oleh campuran Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber, tanpa mengira kaum.
Selepas "ice-breaking", para peserta dibenarkan memasang khemah dan peserta Muslim pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan Solat Jumaat. Aktiviti diteruskan dengan "Station Game" yang memerlukan para peserta melalui tujuh stesen dengan halangan tertentu.
Pada malamnya diadakan upacara perasmian oleh Puan Wan, Encik As dan Cik Hidayah.
Pagi 19 Mac dimulakan dengan aktiviti Jungle Trekking. Semua peserta dibawa melalui kawasan hutan yang berakhir di pantai. Bukan main gembira masing-masing bila dapat mandi-manda di pantai. Mereka juga ditugaskan agar membawa balik kulit-kulit siput untuk digubah menjadi cenderamata yang akan diletakkan di Pusat Sumber Tunku sebagai kenang-kenangan.
Pada petangnya mereka diberi satu tugasan istimewa: menangkap ikan talapia merah di dalam sebuah kolam buatan. Peralatan yang dibenarkan hanyalah beg plastik dan baju masing-masing. Keterujaan para peserta amat terserlah walaupun cuma beberapa ekor dapat ditangkap. Ikan-ikan tersebut akhirnya dibersihkan dan dibakar dalam aktiviti barbeque malam tersebut.
Pagi 20 Mac bermula dengan aktiviti Burung Hantu pada pukul tiga. Sedikit sebanyak, guru-guru pengiring dengan bantuan para fasilitator berjaya menanam semangat keberanian dalam diri setiap peserta. Namun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat juga beberapa perkara yang melucukan berlaku sepanjang sesi tersebut termasuklah guru-guru memberi sedikit pengajaran kepada para peserta yang cakap besar. Menggigil juga peserta-peserta tersebut selepas "diajar" oleh guru-guru pembimbing, hehehe....
Selepas bersenam dan bersarapan pagi, jiwa para peserta diisi dengan slot "Aku Pemimpin Hebat". Pada waktu inilah mereka benar-benar dididik dengan semangat kerjasama dan kekuatan minda masing-masing diperkukuh. Mereka seterusnya diminta mengemaskan kawasan persekitaran secara bergotong-royong sebelum acara penutup.
Sebagai tanda cenderahati, para peserta diberi lilin di dalam bekas kecil yang comel. Guru-guru pula menerima mangkuk bertutup berisi kraf tangan, hasil kreativiti para fasilitator. Terima kasih ye! ^_^
Secara keseluruhannya, program kali ini dikatakan berjaya. Tanpa bimbingan para guru, tanpa usaha para fasilitator dan tanpa penyertaan menyeluruh daripada semua peserta, perkhemahan ini tidak mungkin berjaya. Tahniah dan terima kasih atas kerjasama semua.
Kita Pemimpin Hebat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan